MASALAH INFRASTRUKTUR JALAN RAYA DAN KESANNYA TERHADAP KEHIDUPAN SOSIOEKONOMI MASYARAKAT DI SABAH
MASALAH INFRASTRUKTUR JALAN RAYA DAN KESANNYA TERHADAP KEHIDUPAN SOSIOEKONOMI MASYARAKAT DI SABAH
Oleh: Siti Ayumi Binti Yusmadi, Puteri Raihan Binti Wahid, Suniza Binti Julkarem, Nurazila Binti Masli dan Mas Atika Binti Zulkifli
Infrastruktur jalan raya yang berada dalam keadaan baik sangat penting untuk pembangunan ekonomi dan taraf hidup masyarakat. Jalan raya yang sempurna menghubungkan kawasan bandar dengan luar bandar, serta memudahkan orang ramai untuk bergerak, menghantar barangan, serta mendapatkan perkhidmatan asas. Di Sabah, peranan jalan raya menjadi lebih penting kerana saiz negeri ini yang luas serta bentuk muka buminya yang mempunyai banyak kawasan berbukit, tanah tinggi, dan pedalaman. Bagi penduduk di kawasan seperti Ranau, Keningau, Pitas, dan Tongod, jalan raya merupakan satu-satunya laluan utama untuk mereka ke sekolah, hospital, pekan, dan tempat kerja.
Walau bagaimanapun, kerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya di Sabah masih berdepan pelbagai cabaran. Di kawasan luar bandar dan pedalaman, banyak laluan masih tidak sempurna, berlubang, tidak rata, dan rosak
Gambaran Keadaan Semasa Jalan Raya
Bagi memahami isu ini dengan lebih jelas, satu kajian soal selidik telah dijalankan terhadap 37 orang responden yang terdiri daripada pelbagai latar belakang umur, pekerjaan, dan daerah di Sabah termasuk Kota Kinabalu, Sandakan, Keningau, Tawau, Lahad Datu, dan Kota Belud. Sebahagian besar responden menggunakan jalan raya setiap hari, seerta memberikan gambaran sebenar mengenai cabaran yang dihadapi oleh pengguna jalan raya.
Hasil kajian mendapati seramai 32 daripada 37 responden (86.5 peratus) bersetuju bahawa jalan raya di kawasan mereka sering mengalami kerosakan seperti berlubang, tidak rata, dan mendap. Permukaan jalan yang rosak ini menyukarkan pergerakan kenderaan, terutamanya bagi penunggang motosikal dan pengguna kereta kecil. Keadaan menjadi lebih mencabar apabila hujan lebat kerana air yang bertakung menutup lubang jalan dan menyukarkan pemandu mengenal pasti keadaan permukaan jalan.
Selain masalah permukaan jalan, tempoh kerja pembaikan turut menjadi perhatian apabila seramai 31 responden (83.8 peratus) bersetuju bahawa kerja penyelenggaraan dan pembaikan jalan mengambil masa yang terlalu lama untuk disiapkan. Di samping itu, seramai 31 responden (83.8 peratus) bersetuju bahawa sistem perparitan di tepi jalan tidak diselenggara dengan baik sehingga menyebabkan air mudah bertakung ketika hujan. Dari aspek keselamatan pula, seramai 28 responden (75.7 peratus) berpendapat bahawa kemudahan seperti lampu jalan, papan tanda amaran, dan garisan pembahagi jalan masih belum mencukupi di beberapa kawasan.
Pada masa yang sama, seramai 29 responden (78.4 peratus) bersetuju bahawa projek pembinaan atau naik taraf jalan raya turut menyebabkan kesesakan lalu lintas dan gangguan laluan apabila tidak diuruskan dengan teratur.
Kesan Terhadap Kewangan, Masa dan Kehidupan Harian
Keadaan jalan raya yang rosak memberi kesan langsung kepada perbelanjaan dan aktiviti harian masyarakat di Sabah. Dari segi kewangan, seramai 33 responden (89.2 peratus) mengakui mereka terpaksa menanggung kos pembaikan kenderaan yang tinggi akibat melalui jalan yang berlubang dan tidak rata. Komponen kenderaan seperti tayar, rim, dan sistem suspensi antara yang paling kerap terjejas dan memerlukan pemeriksaan serta penyelenggaraan dengan lebih kerap.
Masalah jalan raya juga berkait rapat dengan kos sara hidup dan aktiviti perniagaan. Seramai 28 responden (75.7 peratus) bersetuju bahawa kerosakan jalan raya boleh mempengaruhi harga barangan keperluan harian kerana kos pengangkutan dan masa penghantaran pembekal menjadi lebih tinggi. Jumlah responden yang sama iaitu seramai 28 orang (75.7 peratus) turut berpendapat keadaan jalan menyukarkan urusan perniagaan serta penghantaran hasil pertanian dan produk tempatan ke pasaran. Keadaan ini menjejaskan peniaga kecil dan petani yang bergantung kepada pengangkutan darat untuk memasarkan hasil mereka.
Dari aspek sosial pula, seramai 29 responden (78.4 peratus) menyatakan masa perjalanan ke tempat kerja, sekolah, dan pusat perniagaan menjadi lebih panjang sehingga mengganggu pengurusan masa dan produktiviti harian. Selain itu, seramai 30 responden (81.1 peratus) bersetuju bahawa jalan raya yang rosak menyukarkan penduduk mendapatkan rawatan kesihatan di klinik atau hospital serta mengganggu kehadiran pelajar ke sekolah. Risiko keselamatan juga meningkat apabila seramai 31 responden (83.8 peratus) bersetuju bahawa keadaan jalan yang kurang memuaskan boleh meningkatkan risiko kemalangan dan memberi tekanan kepada pengguna.
Cabaran Geografi, Pengurusan dan Nilai Kebersamaan
Faktor geografi dan cuaca di Sabah seperti hujan lebat yang berterusan sering menyebabkan air bertakung, hakisan tanah, dan tanah runtuh di kawasan berbukit. Keadaan ini memerlukan sistem perparitan yang berfungsi dengan baik serta pemeriksaan jalan secara berkala supaya kerosakan kecil dapat dibaiki sebelum menjadi lebih serius.
Pengalaman pengurusan jalan raya di peringkat antarabangsa menunjukkan bahawa pembinaan lebuh raya utama perlu diseimbangkan dengan penjagaan jalan penghubung kampung dan luar bandar secara berterusan. Jika jalan kecil dari kampung ke jalan utama masih rosak dan berlubang, penduduk luar bandar tetap sukar membawa keluar hasil pertanian dan menikmati manfaat pembangunan ekonomi sepenuhnya.
Dalam masyarakat majmuk di Sabah, jalan raya bukan sekadar laluan pengangkutan, tetapi turut menghubungkan hubungan kekeluargaan dan aktiviti kemasyarakatan. Apabila jalan kampung rosak, penduduk setempat sering mengamalkan semangat kebersamaan melalui gotong-royong. Namun, usaha sukarela penduduk ini tidak wajar dijadikan alasan untuk melambatkan kerja pembaikan rasmi oleh pihak yang bertanggungjawab.
Keperluan Pemantauan dan Peranan Media
Dalam usaha menambah baik mutu infrastruktur jalan raya di Sabah, kerjasama antara kerajaan, kontraktor, dan masyarakat amat diperlukan. Kerajaan sudah merangka pelbagai perancangan pembangunan termasuk melalui Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) bagi merapatkan jurang pembangunan infrastruktur antara wilayah. Namun, pelaksanaan di lapangan memerlukan pemantauan yang lebih teliti terhadap kualiti bahan binaan, jadual kerja kontraktor, dan ketelusan pengurusan projek supaya jalan yang baru dibaiki tidak cepat rosak semula. Projek naik taraf jalan juga perlu dilaksanakan secara berperingkat dengan papan tanda dan laluan alternatif yang jelas bagi mengurangkan kesulitan pengguna.
Pada masa yang sama, media massa dan media sosial memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat lapangan secara berfakta. Kesemua 37 responden bersetuju bahawa liputan media massa dan perkongsian masyarakat di media sosial mampu menarik perhatian pihak berwajib untuk mempercepatkan kerja pembaikan jalan raya. Aduan yang disampaikan secara berhemah berserta bukti gambar, lokasi, dan penerangan yang tepat dapat membantu pihak berkaitan mengenal pasti kawasan yang memerlukan tindakan segera.
Kesimpulannya, rangkaian jalan raya yang selamat dan berkualiti merupakan keperluan asas bagi menjamin kesejahteraan masyarakat serta kemajuan sosioekonomi di Sabah. Melalui penyelenggaraan yang berterusan, pengurusan projek yang telus, dan kerjasama semua pihak, kemudahan jalan raya di negeri ini dapat ditambah baik demi keselamatan dan keselesaan semua pengguna